Kapsul Ekstrak Peria

KESAN KENCING MANIS DALAM KEHIDUPAN INDIVIDU

Komplikasi kesan kencing manis jangka panjang

Antara masalah kesihatan kesan kencing manis untuk tempoh jangka masa yang panjang adalah seperti:

  • Merosakkan saluran darah besar pada jantung, otak dan kaki (komplikasi maskovaskular)
  • Merosakkan saluran darah kecil, yang boleh menyebabkan masalah pada mata, buah pinggang, kaki dan saraf (komplikasi mikrovaskular)

Bahagian badan yang lain juga berisiko untuk mengalami impak daripada kesan kencing manis, termasuklah sistem pencernaan, kulit, organ seksual, gigi dan gusi serta sistem imunisasi. 

1. Penyakit kencing manis dan kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular adalah termasuk penyakit pada saluran darah, serangan jantung dan angin ahmar (strok). Ia adalah punca utama kematian di Australia.

Risiko penyakit kardiovaskular akan menjadi lebih besar bagi individu yang menghidap kencing manis, yang sering mengalami masalah peningkatan kadar kolesterol dan tekanan darah. Tabiat merokok, mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kardiovaskular dan tidak menjalani kehidupan yang aktif juga meningkatkan risiko penyakit dalam diri anda. 

Untuk mengurangkan risiko dan mendapatkan pengesanan untuk sebarang masalah pada peringkat awal, pastikan anda:

  • Melakukan pemeriksaan tekanan darah bagi setiap 6 bulan atau lebih kerap sekiranya anda mempunyai masalah tekanan darah tinggi atau mengambil sebarang ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah anda. 
  • Menjalani pemeriksaan HbA1c sekurang-kurangnya setahun sekali atau 3 hingga 6 bulan sekali, mengikut saranan doktor.
  • Melakukan pemeriksaan kolesterol setiap tahun. Ujian patologi lanjut seperti elektrokardiogram (ECG) atau ujian tekanan senaman juga boleh disyorkan oleh doktor anda.

2. Penyakit mata dan kencing manis

Antara masalah berkaitan dengan mata dan kesan kencing manis yang boleh berlaku adalah seperti:

#Retinopati 

Kesan Kencing Manis dalam Kehidupan Individu - retinopati

Dengan keadaan mata seperti ini, saluran darah pada retina menjadi rosak yang akhirnya memberikan kesan kepada tahap penglihatan anda. Retinopati wujud dalam pelbagai peringkat. Pada peringkat awal, biasanya wujud simptom, jadi melakukan pemeriksaan mata bagi kencing manis adalah penting untuk pengesanan peringkat awal. Pemeriksaan mata biasa dapat membantu mengesan sebarang perubahan dan membolehkan rawatan awal yang diperlukan dapat dilakukan untuk menghindari kerosakan yang lebih kronik.

#Edema makular

Makula merupakan sebahagian daripada retina dan ia membantu anda untuk melihat sesuatu objek dengan lebih jelas. Pembengkakan pada kawasan ini boleh berlaku apabila saluran darah pada retina rosak dan menyebabkan wujudnya bendalir. Keadaan ini cenderung menyebabkan makula menjadi rosak dan penglihatan menjadi kabur. Terdapat rawatan untuk mengatasi masalah ini. Pengesanan awal adalah amat penting.

#Katarak

Akan muncul selaput pada lensa mata dan menjadikan penglihatan terganggu, sensitif terhadap silau dan penglihatan terhad. Individu yang menghidap diabetes boleh mendapat masalah katarak pada usia yang lebih awal daripada biasa. 

#Glaukoma 

Keadaan ini berlaku apabila bendalir dalam mata wujud dalam tahap yang lebih tinggi daripada kuantiti yang sepatutnya. Ia sekali gus menyebabkan wujudnya tekanan yang boleh merosakkan mata dari masa ke masa. Glaukoma boleh berlaku kepada individu yang menghidapi diabetes ataupun tanpa diabetes.

3. Penyakit buah pinggang dan diabetes

Nefropati bermaksud penyakit atau kerosakan buah pinggang. Nefropati diabetes adalah kerosakan kepada buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes. Dalam kes yang teruk, ia boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang. Namun, tidaklah semua individu yang menghidap diabetes mempunyai kerosakan buah pinggang.

Pada peringkat awal nefropati diabetes, anda mungkin tidak dapat melihat sebarang tanda atau gejala. Mungkin terdapat beberapa simptom seperti:

  • Kawalan tekanan darah yang semakin teruk
  • Protein dalam air kencing
  • Bengkak kaki, buku lali, tangan atau mata
  • Peningkatan keperluan untuk membuang air kecil
  • Kurang memerlukan insulin atau ubat diabetes
  • Kekeliruan atau kesukaran menumpukan perhatian
  • Hilang selera makan
  • Pening dan muntah
  • Gatal berterusan
  • Keletihan

Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

4. Kerosakan saraf dan kencing manis

Kerosakan saraf (neuropati) biasanya berlaku disebabkan oleh paras gula dalam darah yang tinggi, walaupun keadaan ini juga boleh berlaku kerana keadaan seperti:

  • Pengambilan minuman alkohol yang banyak
  • Kekurangan vitamin B12

Kerosakan pada saraf sama ada pada saraf emosi dan motor (pergerakan) boleh berlaku pada saraf kaki, lengan, tangan, dada dan perut serta saraf yang mengawal tindakan organ-organ badan.

Kesan Kencing Manis dalam Kehidupan Individu - luka

5. Masalah kaki dan kencing manis

Kaki individu yang menghidap kencing manis adalah berisiko untuk mengalami kerosakan apabila bekalan darah kepada kedua-dua kaki pada saluran darah yang besar atau kecil berkurangan. Kerosakan saraf (neuropati periferal) sering menyebabkan masalah atau kesan kepada struktur kaki. Masalah pada aliran bekalan darah dan fungsi saraf boleh melambatkan penyembuhan dan meningkatkan risiko jangkitan dan mengurangkan deria rasa pada kaki.

6. Masalah kulit dan kencing manis

Antara komplikasi kesan kencing manis yang boleh berlaku adalah individu dengan masalah kesihatan ini mungkin akan mengalami kulit yang sangat kering akibat kerosakan pada saluran darah dan saraf kecil. Masalah paling biasa dialami pesakit diabetes adalah kulit yang sangat kering pada bahagian atas kaki. 

Mengurangkan komplikasi kesan kencing manis

Mengetahui bahawa kesan kencing manis turut mendatangkan impak terhadap tahap kesihatan dan kehidupan seseorang individu pastinya mendatangkan rasa bimbang dan risau, bukan? Berita baiknya, risiko komplikasi yang berkaitan dengan kesan kencing manis ini boleh dikurangkan dengan mengekalkan tahap seimbang tekanan darah, kadar gula dalam darah dan kolesterol dalam lingkungan yang disyorkan. Selain itu, penjagaan berat badan yang sihat, pengambilan diet pemakanan seimbang dan berkhasiat, mengurangkan pengambilan alkohol dan menghindari tabiat merokok pastinya akan membantu mengurangkan risiko kesan kencing manis terhadap diri anda. 

Pemeriksaan dan penyaringan yang kerap dan berjadual adalah penting untuk dapat mengesan sebarang masalah pada peringkat awal.

Berikut adalah beberapa tip untuk mengurangkan komplikasi kesan kencing manis dalam kehidupan anda:

1. Kencing manis dan pemakanan

Sekiranya anda adalah penghidap kencing manis, adalah penting untuk anda mengambil pelbagai jenis makanan yang berkhasiat dan sihat dalam diet anda, serta dalam masa yang sama menghindari pengambilan makanan manis seperti snek. Memakan makanan yang sihat boleh membantu anda untuk mengawal kadar gula dan kolesterol dalam darah dan tekanan darah anda. 

Nikmati pelbagai makanan dari setiap kumpulan makanan, seperti pastikan anda memasukkan makanan yang tinggi serat dan mempunyai kandungan lemak yang rendah serta mengurangkan pengambilan garam dalam setiap hidangan makanan anda. Cara yang terbaik, anda harus dan perlu berunding serta mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan untuk menyemak dan menentukan pelan pemakanan pada masa yang bersesuaian dengan tahap kesihatan anda. Jangan lupa untuk meminta nasihat mengenai panduan pemilihan makanan dan kuantiti makanan yang terbaik untuk anda.

2. Pengambilan minuman beralkohol

Sebaiknya cuba untuk mengehadkan pengambilan minuman beralkohol. Sekiranya anda ingin minum alkohol, pastikan anda tidak mengambil minuman tersebut lebih daripada kuantiti yang dibenarkan. Seandainya anda hamil atau sedang dalam usaha untuk hamil atau mungkin sedang menyusukan bayi, anda dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang minuman beralkohol.

3. Kencing manis dan berat badan sihat

Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, anda disarankan untuk mencuba mengurangkan berat badan anda. Kehilangan berat badan, walaupun dalam jumlah yang kecil, terutamanya pada sekitar bahagian perut, dapat membantu menurunkan tekanan darah, gula dalam darah serta paras kolesterol.

Anda mungkin berasa sukar untuk mengurangkan berat badan dalam jumlah yang banyak, jadi sebagai permulaan, letakkan sasaran penurunan berat badan yang kecil dahulu. Anda boleh lakukan ini dengan mencuba untuk mengawal apa yang anda makan serta kuantiti pemakanan yang anda ambil. Setiap kali anda ingin makan sesuatu makanan, cuba untuk berfikir sama pilihan makanan yang ingin anda ambil itu adalah pilihan yang sihat atau tidak, dan pertimbangkan mengenai saiz hidangan yang bersesuaian. 

Kesan Kencing Manis dalam Kehidupan Individu - bersenam

4. Kencing manis dan senaman

Seandainya sebelum ini anda merupakan seorang individu yang tidak aktif dalam bersukan mahupun bersenam, lakukan perubahan. Ubah dan jadikan seorang individu yang aktif. Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana sehari dan secara beransur-ansur pertingkatkan tempoh dan intensiti senaman. Jika anda dalam usaha untuk menurunkan berat badan, tempoh senaman yang disyorkan sehari adalah sekurang-kurangnya 60 minit. 

Sekiranya anda tidak dapat melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berenang atau melakukan senaman di gimnasium, anda boleh mempertimbangkan untuk melakukan senaman aerobik ringan, latihan kerusi atau latihan ketahanan kekuatan dengan mengangkat bebanan dengan berat yang ringan.

Berbincang dengan doktor anda jika anda tidak pasti sama ada latihan yang sedang anda rancang untuk lakukan adalah bersesuaian dengan keadaan kesihatan dan perubatan anda atau tidak. 

5. Merokok dan kencing manis

Tabiat merokok adalah faktor risiko gaya hidup yang mendatangkan komplikasi besar terhadap kesan kencing manis dalam kehidupan seseorang individu. Apabila anda merokok, segala usaha anda untuk mengurangkan komplikasi kesan kencing manis seperti mengurangkan berat badan, penjagaan aspek pemakanan, menjaga tahap gula dalam darah dan tekanan darah adalah sia-sia. 

Merokok mendatangkan impak kepada kadar peredaran darah dengan meningkatkan kadar degupan jantung dan tekanan darah serta menjadikan saluran darah anda lebih sempit. Tabiat tidak sihat ini juga menjadikan sel darah dan dinding saluran darah anda seakan ‘melekit’ dan menyebabkan bahan berlemak yang berbahaya untuk membiak. Keadaan ini sekali gus boleh mengundang masalah kesihatan seperti serangan jantung, strok, dan penyakit lain yang berkaitan dengan saluran darah.

Pesakit kencing manis yang mempunyai tabiat merokok mempunyai paras gula dalam darah yang lebih tinggi berbanding pesakit kencing manis tanpa tabiat merokok.

SUMBER : https://hellodoktor.com/gaya-hidup-sihat/tips-kesihatan/kesan-kencing-manis-dalam-kehidupan/#gref

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *